Alhamdulillah, sekali lagi pada 15 Mei yang lalu sekali lagi tim Kedah Agro Biotech Sdn.Bhd turun padang melalui kempen ‘ Memasyarakatkan Pertanian organik’ bertempat di Kampung Telaga Batu, Sik, Kedah. Bengkel Pembuatan Efektik Mikroorganisma (EM) ini merupakan siri ke-5 selepas siri sebelumnya iaitu di Kg. Sg. Pau,Sik, Kg. Sg. Kechil Ulu, Bandar Baharu, siri ke- 3 pula di Kg. Gajah Mati, Pendang dan siri ke-4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubur Panjang dijalankan dengan jayanya. Siri ke-4 berbeza dengan siri-siri yang lain kerana peserta yang hadir mencecah angka 70 orang yang juga terdiri daripada pelajar sekolah dan 11 orang guru dibawah kelab masing-masing
Siri terbaru ini turut mempunyai kelainan kerana pesertanya yang juga terdiri daripada petani, pekebun kecil dan juga remaja. Manakala yang istimewanya, program diadakan di kawasan dusun buah-buahan serta berdekatan dengan sumber air. Selain itu, kawasan ini bersesuaian dengan suasana alam semulajadi kerana pembuatan EM ini akan lebih berkesan apabila dipengaruhi kawasan persekitaran udara yang segar dan nyaman dengan adanya rimbunan pokok buluh. Seramai 11 orang peserta yang menghadiri bengkel ini iaitu 2 orang wanita dan selebihnya lelaki daripada pelbagai peringkat umur termasuk remaja dan juga warga emas.
Bengkel ini mendapat kerjasama baik daripada peserta apabila sanggup menyediakan semua bahan-bahan utama seperti tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan juga sisa buangan haiwan seperti tinja lembu kambing dan juga sabut kelapa untuk dijadikan baja kompos. Tumbuh-tumbuhan seperti kangkung, pucuk kekacang dijadikan EM sayur-sayuran, manakala buah-buahan yang telah rosak seperti tembikai, timun, labu, pisang dan betik dijadikan EM buah-buahan. Bengkel ini bertujuan untuk memberi maklumat kepada masyarakat bahawa matlamat utama pembuatan EM bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan, pembungaan,buah,dan kemasakan dalam tanaman, memperbaiki secara fizikal,kimia dan biologikal persekitaran tanah dan menghalang patogen-patogen tanah dan serangga,memperbaiki aktiviti fotosintesis pada tanaman, memastikan pertumbuhan pucuk dan tanaman, meningkatkan kecekapan bahan organik sebagai baja, membina ketahanan tanaman dari penyakit dan serangga perosak.
Sepanjang bengkel dijalankan terdapat pelbagai persoalan yang diajukan oleh peserta sebagai tanda bahawa mereka sebenarnya berminat terhadap pertanian organik tetapi belum mendapat pendedahan yang sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu. Dengan adanya bengkel ini, sedikit sebanyak dapat merungkai persoalan dan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah yang dialami. Pihak penganjur pula boleh mengkaji lagi kelebihan yang ada dalam pembuatan EM untuk mendapat hasil yang lebih baik. Bagi para remaja yang turut menjadi peserta, bengkel ini merupakan satu kelebihan kepada mereka untuk membawa halatuju pada masa hadapan dan juga menarik minat mereka untuk terlibat dalam pertanian organik dengan menghasilkan baja dan vitamin @ tonik untuk tanaman tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.